GAHARU : BERNAMA

Pusat Penyelidikan Gaharu Akan Ditubuhkan Di Melaka
17 Februari, 2009 13:41 PM
MELAKA, 17 Feb (Bernama) -- Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) akan menubuhkan sebuah pusat penyelidikan gaharu bagi membolehkan penyelidikan dan pembangunan kepelbagaian gaharu berkembang di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PBM, Profesor Dr Ramli Hitam berkata PBM kini mempunyai tenaga penyelidik yang mencukupi untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan terhadap gaharu itu.

"Penyelidikan yang akan dijalankan itu termasuk mewujudkan profil pokok gaharu dan minyak wangi, penandaan pokok gaharu serta teknologi terbaik dalam penghasilan resin," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Presiden Persatuan Gaharu Malaysia, Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail baru-baru ini mencadangkan Pusat Penyelidikan Aquilavia ditubuhkan di Malaysia bagi membolehkan penyelidikan dan kejian berkaitan kepelbagaian gaharu berkembang di negara ini.

Syed Razlan dilaporkan berkata penubuhan pusat berkenaan perlu kerana gaharu merupakan produk yang penting dalam penghasilan pelbagai bahan kecantikan, perubatan dan minyak wangi.

Dr Ramli berkata gaharu mempunyai banyak spesis seperti Aquilaria malaccensis, Aquilaria crassna, Aquilaria beccarian, Aquilaria subintegra, Aquilaria agallocha dan Aquilaria sinensis.

"Berdasarkan penyelidikan berkenaan kita berharap dapat memperkenal spesis pokok gaharu yang boleh matang dalam tempoh masa yang singkat dan menghasilkan lebih banyak resin yang bernilai tinggi," katanya.

Beliau berkata bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan, PBM telah menanam pelbagai pokok gaharu di kawasan seluas 40 hektar di negeri ini.

Katanya selain PBM, pihak lain seperti Jabatan Perhutanan turut mengusahakan ladang tanaman pokok gaharu di negeri ini.

"Bagi menjayakan penyelidikan dan pembangunan ini, Perbadanan Bioteknologi Melaka akan bekerjasama dengan pihak berkaitan seperti Jabatan Perhutanan dan FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia)," katanya.

Dr Ramli berkata usaha yang dijalankan oleh PBM itu antara lain bagi mengembalikan semula kegemilangan Melaka sebagai pusat perdagangan gaharu di Nusantara pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Beliau berkata industri gaharu mempunyai potensi pasaran yang luas dan permintaannya amat tinggi dan jika diusahakan secara komersial boleh memberi keuntungan lumayan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment