GAHARU : UTUSAN

ARKIB : 11/02/2009 Utusan
'Cecair emas' gaharu bernilai
Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL
utusanperlis@utusan.com.my

ARAU 10 Feb. - Penanaman gaharu atau agarwood semakin mendapat tempat di negara ini apabila pelbagai pihak termasuk orang perseorangan mengambil peluang untuk memperoleh 'cecair emas' yang bernilai tinggi di pasaran antarabangsa.
Gaharu digunakan secara meluas dalam industri minyak wangi, produk perubatan, perubatan ayurvedic dan majlis keagamaan tertentu.
Permintaannya yang tinggi terhadap produk ini menyebabkan pokok gaharu yang tumbuh ratusan tahun dalam hutan sering 'diburu' walaupun perbuatan ini merupakan satu kesalahan kerana pokok dari spesies ini merupakan tanaman dilindungi.
Penanaman gaharu secara kecil-kecilan atau komersial membolehkan aktiviti penebangan gaharu di hutan dikurangkan dalam usaha menjaga khazanah yang begitu bernilai itu.
Bagaimanapun, penjualan gaharu dalam skala besar bukan perkara yang mudah kerana ia memerlukan pengesahan badan pemantau khas yang dikenali sebagai Rangkaian Pemantauan Perdagangan Hidupan Liar (TRAFFIC) yang dibiayai oleh Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Tanpa pengesahan dari badan khas ini, penjualan gaharu menjadi sukar walaupun sesebuah negara itu mempunyai pengeluaran gaharu yang tinggi.
Menyedari potensi dan pentingnya pengesahan maklumat yang perlu diberikan kepada TRAFFIC untuk aktiviti penjualan gaharu, Persatuan Gaharu Malaysia (PGM) ditubuhkan atas inisiatif Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail yang juga Presiden PGM.
Syed Razlan berkata, objektif penubuhan PGM adalah untuk memperbaiki kedudukan pengusaha gaharu yang kini menjalankan penanaman secara sendiri tanpa mendapat sebarang bantuan termasuk maklumat terkini mengenai penanamannya.
''Gaharu terdiri daripada pelbagai spesies iaitu aquilaria crassna, aquilaria malaccensis, aquilaria beccarian dan banyak lagi. Tetapi tahap kematangannya bergantung kepada kepelbagaian, ada yang memerlukan masa sehingga 15 tahun untuk mendapatkan gaharu.
''Bagi jenis aquilaria subintegra, proses kematangannya lebih pendek iaitu mengambil masa antara lima sehingga tujuh tahun untuk mengeluarkan gaharu," katanya di sini baru-baru ini.
Katanya, PGM juga bertanggungjawab memperkenalkan jenis baru bagi membolehkan para pengusaha gaharu memperoleh hasil dalam tempoh yang tidak terlalu lama seperti menggunakan jenis subintegra.
''Ramai pengusaha kini yang berlumba-lumba untuk menanam gaharu tetapi mereka tidak mengetahui kaedah yang betul terutama bagi membolehkan gaharu mengeluarkan minyak melalui suntikan atau menebuk batang pokok berkenaan.
''Kebanyakan mereka hanya mengharapkan penghasilan minyak gaharu daripada proses semula jadi iaitu dari agen ulat yang menebuk batang tanpa mengetahui adanya teknik baru dengan penggunaan kulat yang boleh menggalakkan pengeluaran gaharu,'' ujarnya.
Ada antaranya tidak mengetahui tempoh matang sebenar pokok gaharu yang ditanam sehingga mereka terpaksa menebang pokok yang tidak mengeluarkan minyak gaharu.
''Ini merupakan masalah yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha gaharu iaitu mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi dalam mengusahakan tanaman ini apatah lagi berkaitan hal penjualan yang memerlukan seseorang itu mengesahkan bahawa gaharu yang dihasilkan itu bukan datang dari hutan.
Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat atau menyertai PGM mereka boleh menghubungi Setiausaha Agung PGM, Ahmad Sufiani Johari di talian 0126857338 atau melalui email di gaharu.malaysia@gmail.com

No comments:

Post a Comment